Meluruskan Persepsi Politik Dakwah
Imam Hasan al-Banna (1906-1949)
merupakan seorang pendidik dan pengasas Ikhwanul Muslimin telah berjaya
menterjemahkan intipati politik dalam perjuangan dakwah dengan menetapkan
pendirian: ”Islam adalah sebuah sistem sejagat yang lengkap dan mencakupi
seluruh aspek hidup dan kehidupan.”
Islam adalah negara dan tanah
air, pemerintahan dan rakyat, akhlak dan kekuatan, kasih sayang dan keadilan,
peradaban dan undang-undang, ilmu dan kesaksamaan, bahan dan sumber kuasa alam,
usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah, tentera dan pemikiran, sebagaimana Islam
adalah akidah yang lurus dan ibadah yang benar, tidak kurang dan tidak lebih.”
Keluasan sudut pandangan itulah
menjadikan setiap tindakan yang dilaksanakan oleh Ikhwanul Muslimin cepat
mendapat perhatian sehingga dalam masa yang begitu singkat ia telah menjangkau
hampir ke seluruh Mesir.
Jika meneliti sejarah
perjuangan Hasan al-Banna, ternyata Ikhwanul Muslimin tidak pernah menggunakan
kekerasan sehinggalah organisasi itu banyak dipengaruhi oleh Sayyid Qutb
setelah kematian Hasan al-Banna.
Hasan al-Banna walaupun
kemenangannya dalam pilihan raya di Ismailiyyah pernah dinafikan, organisasi
Ikhwanul Muslimin dan sekolah-sekolah kendaliannya ditutup, manakala penerbitan
akhbar dihentikan, beliau tidak pernah mengesyorkan penyokong-penyokong
berhimpun dan melakukan tunjuk perasaan.
Pendekatan itu menyebabkan
Ikhwanul Muslimin terus dihormati dan kaedah berpolitik yang diasaskan oleh
Hasan al-Banna lebih menjuruskan kepada kehendak Islam berbanding perilaku
pemimpin-pemimpin politik pembangkang di Malaysia.
Cara berpolitik yang
diterjemahkan oleh Hasan al-Banna tidak mempengaruhi corak perjuangan sebuah
parti pembangkang yang mendakwa perjuangan mereka adalah untuk memerintah
berdasarkan prinsip syariah, kerana setiap kali bermasalah, parti itu sering
menyalahkan parti lawan dan melancarkan serangan dengan melabelkan parti
berkenaan “membuang Islam” manakala pentadbiran yang telah memberikan rakyat
kebebasan serta mempertahankan keamanan negara sebagai zalim.
Belum pernah berlaku dalam
sejarah politik Malaysia kemenangan parti lawan dinafikan dan kebebasan untuk
memerintah disekat. Inilah yang berbeza secara jelas antara tekanan yang
dihadapi oleh Ikhwanul Muslimin sehingga tertubuhnya Parti Kebebasan dan
Keadilan setelah ramai calon Ikhwanul Muslimin bertanding atas platform bebas
sebelumnya tidak disenangi oleh pemerintah Mesir.
Kebangkitan rakyat Mesir
mendesak peletakan jawatan Hosni Mubarak pada akhir 2010 dan berjaya dilakukan
pada 12 Februari 2011, seharusnya menjadi teladan terbaik bagi umat Islam di
Malaysia. Meskipun FJP diisytiharkan menang dan Dr. Mohamed Morsi dilantik
sebagai Presiden lebih enam bulan lalu, keadaan Mesir masih belum aman.
Dengan mengambil iktibar
daripada Arab Spring, boleh dirumuskan bahawa kemenangan dalam
sesuatu perjuangan bukan boleh menjamin keadaan selepasnya menjadi lebih baik
daripada sebelumnya. Mesir terus dibelenggu ketakutan dan ketidakstabilan
politik serta pertumbuhan ekonominya merudum.
Usaha Morsi untuk meneruskan
perjuangan Ikhwanul Muslimin pada masa ini terus menerima tentangan hebat
daripada kelompok liberal, saki-baki penyokong Hosni dan kumpulan politik
berhaluan kiri Islam.
Hal seperti ini turut berlaku
di Malaysia apabila parti-parti politik pembangkang berusaha meraih sokongan
dengan mempertajamkan persepsi masyarakat dengan mengusung kekeliruan dan
penafian peluang yang terbuka untuk mereka berpolitik secara budiman.
Politik adaptasi yang sedang
berkembang dalam pakatan pembangkang misalnya menyebabkan pemimpin akar umbi
mempersoalkan kewajaran penyebaran dakwah yang telah dilaksanakan dalam konteks
tahaluf siyasi (kerjasama politik). Kerjasama yang terjalin tidak membuktikan
adanya kompromi yang lebih baik, sebaliknya menjadikan satu pihak terpaksa akur
dan bersetuju walaupun ia bukan memberikan kebaikan kepada Islam.
Apabila berlakunya “pelanggaran
prinsip”, kewajaran yang dianggap sebagai tragedi kepada umat Islam itu
akhirnya cuba ditutupi dengan mudah oleh pemimpin parti yang pada mulanya
pernah melabelkan parti lawan yang bekerjasama dengan bukan Islam sebagai kafir
dan menimbulkan ketakutan rakyat. Persoalannya, itukah bentuknya perjuangan
politik di jalur dakwah atau berdakwah melalui politik?
Ibnul Qayyim Al Jauzi yang
menulis kitab Ath Thuruq al Hukmiyyah berpendapat, “Allah
Ta’ala mengutus para Rasul dengan menurunkan kitab-kitab suci-Nya, dengan
tujuan agar manusia dapat menegakkan keadilan sesuai dengan prinsip-prinsip
langit dan bumi. Jika keadilan muncul dan terlihat dalam bentuk apa pun, maka
itulah syariat Allah dan agama-Nya”.
Kata Ibnul Qayyim lagi: “Bahkan
Allah Ta’ala telah menjelaskan bahawa garis-garis yang telah ditetapkan itu
dimaksudkan untuk menyemarakkan keadilan dalam kalangan hamba-hamba-Nya dan
agar manusia berlaku adil di muka bumi. Dengan cara apa pun yang diambil, jika
sesuai dengan garis- garis yang telah dijelaskan untuk mewujudkan keadilan,
adalah sebahagian dari agama dan tidak bertentangan dengannya. Jadi tidak dapat
dikatakan bahawa keadilan politik itu bertentangan dengan apa yang dikatakan
oleh syariah, melainkan ia sesuai dengan apa yang dibawa oleh syariah dan
bahkan sebagian bersepadu dengannya.”
Maknanya, apabila ada cadangan
untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan umat Islam dengan menyatukan kelompok
politik yang berpecah, maka hasrat tersebut sepatutnya disambut dengan
berlapang dada. Tetapi, lebih menyedihkan apabila usaha itu cuba dirintis,
parti yang mempertahankan emosi marahnya terus menyatakan “pintu rundingan
sudah tertutup” manakala kerjasama tidak boleh berlaku dalam bidang politik.
Maksudnya, parti berkenaan
sendiri tidak mahukan perpaduan dan telah mencemari perspektif bahawa “politik
dan agama tidak boleh dipisahkan” kerana Islam adalah addin dan bukannya boleh
dipisah-pisahkan sebagaimana dilakukan oleh parti politik sekular.
Istilah politik atau siyasah
tidak ditemui dalam al-Quran dan hadis tetapi beberapa keadaan dan konteks yang
boleh memberikan gambaran bagaimana bentuknya berpolitik bagi memperkasakan
dakwah dan dengan berdakwah, politik menjadi suatu kaedah yang terbaik dan
bukan saling menyerang atau berperang.
Siyasah jika dikembangkan
sebagai satu seni dan sekali gus kemahiran, ia mengandungi kebolehan mengurus,
melakukan dan melaksanakan perubahan, membangunkan kebaikan awam, prihatin
terhadap kehidupan dan masalah rakyat, dan yang lebih diutamakan ialah tidak
mewujudkan sekumpulan pemimpin yang hanya tahu mencari salah, mengecam dam
menyalahkan orang lain bagi menyembunyikan kelemahan sendiri.
Berpolitik seringkali dikaitkan
dengan parti politik tetapi setiap kali melaksanakan aktivitinya, ramai yang
lupa untuk mengaitkannya dengan dakwah. Dalam merumuskan hubungan itu, Hasan
al-Banna berpendapat untuk mengatasi masalah kemunduran dan perpecahan umat,
kita memerlukan terapi bersepadu dan komprehensif, ia sepatutnya diajukan
dengan “gagasan memperbaiki kebaikan hubungan umat”, agar mencapai kehormatan
dan kemuliaan.
Maknanya, dalam berpolitik
dakwah mestilah berhemah. Ketika berdakwah, politiknya mestilah beretika agar dapat
melahirkan umat yang budiman, iaitu umat yang menghormati dan menghayati bahawa
Islam dipenuhi elemen kasih sayang. Islam bukanlah kaedah berpolitik mengancam
dan saling menyerang, walaupun berbeza ideologi. ia meletakkan kesatuan umat di
tangga teratas.