PEREMPUAN BERKALUNG
KAIN SERBAN
(CERPEN ISLAMIK
MENGANGKAT MARTABAT KAUM WANITA)
7 Tahun
Yang Lalu…
eruan ombak yang kuat di pantai Sulawesi memecah kesunyian di kala waktu
senja kian hampir. Nur Anisa leka menunggang kuda bersama dengan abang-abangnya
di tepi pantai tersebut sehingga tidak sedar yang matahari kian terbenam di
ufuk barat. Uminya, Halimatul Sa’diah sibuk mencari anak perempuannya itu di
sekitar madrasah. Puas ditanya para pembantunya di mana Anisa namun tiada
seorang pun yang tahu. Akhirnya Puan Halimatul mengambil keputusan untuk
mencari anaknya di tepi pantai tempat anak-anak lelakinya sering menunggang
kuda.
Akhirnya, Puan
Halimatul berjaya menemui Anisa bersama kuda yang ditungganginya tidak jauh
dari abangnya, Reza Qalbi. “Nur Anisa !!! Turun sekarang !!!,” jerit Puan
Halimatul. Anisa terkejut dengan teriakan uminya lalu dengan rasa berat hati,
dia turun dari kudanya. “Anak perempuan tidak boleh menunggang kuda tahu tak
Anisa”, kata Puan Halimatul kepada Anisa. “Anisa tidak mahu pulang ke rumah,
Umi. Abang Reza dan abang Ziad boleh je bermain dengan kuda mereka. Tapi kenapa
Anisa tidak boleh ? Kerana Anisa ni perempuan, adakah begitu Umi,” soal Anisa
kepada uminya. Dengan sabar uminya berkata,”Nisa, adakah kamu mahu umi dimarahi
oleh walid ?,” tanya Puan Halimatul kepada Anisa sambil memujuk anaknya supaya
pulang ke rumah. Lalu, dengan perasaan yang bercampur baur, akhirnya Anisa
menurut arahan uminya.
Para penghuni madrasah menunaikan solat
Maghrib secara berjemaah yang sudah pun menjadi kebiasaan di Madrasah
Al-Jawahir sejak era awal pembukaannya lagi. Seusai solat Maghrib, keluarga
Anisa menikmati makan malam bersama-sama. Anisa tiba-tiba memulakan bicara
ketika suasana di meja makan itu sunyi sepi tanpa apa-apa kata. “Anisa mahu
belajar menunggang kuda”, ucap Anisa ditujukan kepada walidnya, Kiai Hanan.
Namun walidnya tidak melayan sebaliknya terus menikmati juadah. Uminya lantas
berkata, “Jangan bercakap ketika sedang makan. Tak elok”. “Anisa nak belajar
jugak. Kenapa abang Reza dan abang Ziad boleh ? Kenapa Nisa tak boleh ?,” Anisa
tidak mengendahkan suruhan uminya. Lalu walidnya pun bersuara lantang, “Kerana
kamu itu perempuan. Sebab itulah walid tidak mengizinkan kamu menunggang kuda
seperti abang-abangmu. Mereka boleh sebab mereka lelaki”. Anisa bungkam tidak
tahu berkata apa lagi setelah dijerkah oleh walidnya.
Kudhori Azzam,
merupakan sepupu rapat Anisa sejak kecil lagi dan dia kini dalam perancangan
melanjutkan pelajarannya ke Mesir. “Ibu saya sampaikan salam untuk Mak Cik. Ibu
rindu sangat kat Mak Cik. Katanya bila lagi Mak Cik nak menziarahinya”, ujar
Kudhori kepada Puan Halimatul. “Kudhori, mak cik bukan tak mahu menziarahi
ibumu. Mak cik pun rindu sangat pada ibumu. Tapi, kalau mak cik pergi, siapa
yang akan menguruskan madrasah ini…. Bagaimana perancanganmu ke Mesir ?” tanya
Puan Halimatul kepada Kudhori. Belum sempat Kudhori menjawab pertanyaan Puan
Halimatul, mereka dikejutkan dengan suara Anisa yang tiba-tiba berlari masuk ke
rumah lalu melanggar periuk belanga berisi lauk yang dibawa oleh pembantu Puan
Halimatul. “Anisa !!! Di mana Anisa ?,” tanya Kiai Hanan.
“Nisa !!! Kenapa
kamu harus lari dari sekolah sekalipun kamu tidak jadi dilantik sebagai ketua
darjah ? Kamu memang mahu malukan walid ya… Dasar anak tak tahu diuntung…Kamu
itu perempuan Nisa. Perempuan itu tidak boleh menjadi pemimpin. Yang selayaknya
jadi pemimpin itu adalah lelaki. Faham tak…?” Kiai Hanan sudah hilang kesabaran
disebabkan kedegilan anaknya itu yang kuat sekali meronta-ronta minta
dilepaskan. Lalu dibawanya Nisa masuk ke dalam bilik mandi untuk diberi
pengajaran. Anisa menjerit dalam tangisan meminta tolong. Namun, puan Halimatul
dan Kudhori tidak dapat berbuat apa-apa selain hanya dapat berteriak dari luar
pintu bilik itu.
Anisa termenung
sendirian di atas batu besar sambil menikmati deruan ombak di tepi pantai
Sulawesi. Aksinya dilihat oleh sepupunya, Kudhori Azzam dari jauh dan dia
berjalan dengan derap langkah yang perlahan untuk mendekati Anisa. “Nis, kenapa
ni…? Eh perempuan tu tak boleh bersendirian di tempat yang macam ni. Kalau terjadi
apa-apa pada awak. Siapa yang susah..??? Pastilah umi dan walid risaukan awak”,
kata-kata Kudhori segera mematikan lamunan Anisa. “Benarkah awak nak tinggalkan
Nisa sendirian di sini ? Antara Mesir dan Mekah, mana yang lebih jauh ?,” tanya
Anisa tiba-tiba. “Tak jauh mana pun. Yang penting bergantung pada niat Nisa.
Seperkara lagi, awak tak bersendirian di sini. Awak masih ada umi, walid, abang
Reza, Ziad dan teman-teman awak yang lain. Lagipun saya ke sana untuk
melanjutkan pengajian..,” ujar Kudhori perlahan sambil memujuk Anisa.
Kudhori Azzam
merupakan insan yang sangat dekat di hati Anisa. Baginya, cuma Kudhori yang
memahami perasaannya. Dalam diam, Anisa menyimpan rasa cintanya pada Kudhori.
Begitu juga dengan Kudhori, di hatinya ada rasa cinta pada Anisa. Namun, status
dirinya yang bukan anak Kiai menjadi kekangan untuknya menyulam cinta bersama
Anisa. Menurut fikirannya, pastilah walid Anisa iaitu Kiai Hanan akan
menjodohkan Anisa bersama anak Kiai juga. Kudhori seperti sudah tahu yang dia
akan tewas dalam perkara itu. Justeru itu, dia tidak sesekali menolak tawaran
pengajiannya ke Mesir. Sulit untuk meninggalkan Anisa namun dia tiada daya.
Sebelum berangkat ke Mesir, Kudhori telah berjanji pada Anisa bahawa dia akan
selalu mengirimkan surat untuk Anisa.
7 Tahun Kemudian….
Seperti biasa
Anisa menunggu surat dari Kudhori, namun sudah tiada lagi kiriman surat-surat
dari si dia. Tanpa pengetahuan umi dan walidnya, Anisa memohon melanjutkan
pelajaran ke Mesir dan Jordan. Setelah seminggu kemudian, Anisa telah menerima
sepucuk surat. Sangkanya surat itu dari Kudhori namun sangkaannya meleset.
Sebaliknya surat itu dari Mesir yang menawarkan pengajian kepada Anisa. Hampir
sahaja terlepas beg sekolah yang dibawa oleh Anisa dek kerana terlalu gembira
akhirnya dapat juga berpeluang ke Mesir. Sampai di rumah, Anisa menunjukkan
surat itu kepada umi dan walidnya. Anisa menanti reaksi walidnya. Lalu satu
keluhan terlepas jua dari walidnya. “Kenapa walid ? Walid tak suka Nisa dapat sambung
belajar ke Mesir ? Kalau soal kos. Umi dan Walid tidak perlu mengeluarkan duit
belanja untuk Nisa. Kan pengajian Nisa ditanggung oleh biasiswa,” terang Anisa
kepada umi dan walidnya sambil berharap dalam hati walidnya memberi keizinan.
Keesokkan harinya,
Anisa bertanya lagi kepada walidnya tentang surat itu. Lantas walidnya
menjawab, “Nisa, kamu itu perempuan. Walid tak boleh melepaskan kamu sendirian
ke sana tanpa muhrim. Kalau kamu sendirian ke sana, boleh jadi fitnah ke atas
kamu. Faham tak ?,” Anisa sebal dengan perangai walidnya. Itu tak boleh, ini
tak boleh. Dia tidak bebas melakukan apa sahaja yang dia mahukan. “Nisa mahukan
kebebasan. Tapi kenapa walid tidak pernah nak faham perasaan Nisa…Nisa tahu
jaga batas diri,” gumam Anisa sendirian.
Sebelah malamnya
pula, Anisa diminta oleh uminya memakai pakaian yang cantik dan sopan. Apabila
Anisa bertanya kepada uminya mengapa dia perlu memakai pakaian yang begitu,
namun uminya tidak banyak bicara lantas menyuruh Anisa segera memakai tudung.
Anisa dibawa keluar menuju ke pangkin tempat walid dan sahabatnya berkumpul.
Kiai Hanan memperkenalkan Anisa kepada keluarga Kiai Rahman. “Saya kenalkan
pada keluarga Kiai, itu Nur Anisa. Satu-satunya anak perempuanku. Dia gadis
yang pintar. In Shaa Allah boleh menjadi isteri yang solehah untuk anak lelaki
Kiai Rahman, Hisam.” Anisa terpana seketika mendengar kata-kata walidnya.
Dunianya serta merta menjadi gelap gelita.
“Anisa tak mahu
dijodohkan dengan Hisam. Muktamad !!!” begitulah keputusan Anisa yang
menimbulkan kemarahan pada walidnya. Lalu dengan tidak semena-mena satu
tamparan hebat hinggap di pipi kiri Anisa. Anisa terpempan. Air mata sudah
bercucuran keluar. Uminya segera menenangkan keadaan suaminya yang sudah hilang
pertimbangan. “Istighfar bang,… bukan begini caranya mengajar Anisa.
Istighfar…,” Puan Halimatul berusaha memujuk suaminya agar berhenti memarahi
Anisa. Sedang asyik melayani perasaan di dalam kamar, uminya mendekati Anisa.
“Nis, apa kamu mahu dibenci dengan walid..? Tolong kesian pada umi sayang… Umi
faham perasaan kamu Nis. Kamu masih menunggu Kudhori kan… Tapi, tolong Nis.
Untuk sekali ini, korbankanlah hatimu sayang. Terimalah pinangan Hisam..” kata
uminya separuh merayu pada Anisa. Dia tahu hati anaknya itu lembut. Anisa
terpaksa akur dengan keputusan umi dan walidnya.
Majlis pernikahan
Anisa dan Hisam akhirnya dilangsungkan di masjid Madrasah Al-Jawahir ba’da
solat maghrib. Anisa terima tanpa rela. Sedih kerana yang menikahinya itu bukan
Kudhori, cinta hatinya. Tiada sekelumit perasaan cinta pada lelaki yang
dikenali sebagai Hisam. Baginya, Hisam telah meragut segala kebahagiaan Anisa.
Dia berjanji pada dirinya bahawa dirinya tidak akan sekali-kali tewas dengan
nafsu Hisam. Dia tahu Hisam tidak bersungguh-sungguh mencintai Anisa. Dia juga menikahi
Anisa dalam keterpaksaan. Hanya kerana perjanjian kedua belah keluarga untuk membiayai
kos memperbesarkan Madrasah Al-Jawahir. Anisa terperangkap dalam pernikahan
yang tidak dijangka.
Setelah 3 hari
menjadi isteri kepada Hisam. Anisa seperti hamba sahaya di rumah milik
suaminya. Dia yang mengemas rumah, membasuh baju dan memasak. Tiba-tiba
suaminya lantang mengarah diminta dibuatkan secawan kopi. “Kopi Nisa”. Anisa
terkejut kerana disergah sebegitu lalu cawan yang berada di tangannya terlepas
jatuh ke lantai dan pecah berderai. Suaminya pantas menuju ke dapur dan
bertindak menjatuhkan pinggan mangkuk ke lantai. Mujurlah kesemuanya bukan
kaca. Kalau tidak, sudah pasti kaki Anisa terkena serpihan kaca. “Kau fikir
barang-barang dalam rumah ni semuanya percuma haaaa…Orang bodoh macam kau
dikatakan pintar oleh walid. Huh…” Hisam pergi meninggalkan Anisa yang terpinga-pinga
sendirian.
Hati Anisa kian
membengkak dek kerana perbuatan Hisam ke atasnya malam semalam. Mujurlah dia
sempat melarikan diri dari nafsu buas suaminya itu. Dia tidak sesekali
menyerahkan ‘mahkota’nya yang berharga untuk suami seperti Hisam. Itu janjinya
pada diri sendiri. Sedang asyik melayani perasaan, tiba-tiba pintu rumah
diketuk dari luar. Anisa bangun membuka pintu. Terkejut kerana yang berada di
hadapannya adalah seorang wanita yang sedang sarat mengandung. “Maaf, awak
Anisa kan. Saya Fatimah..” ujar wanita itu seraya memperkenalkan dirinya kepada
Anisa. “Iya, betul saya Anisa. Awak ni siapa ya ?,” tanya Anisa pula. Namun
pertanyaannya tidak dijawab oleh wanita itu sebaliknya mata wanita itu terus
melihat perutnya yang kian sarat.
Di rumah Kiai
Rahman, Anisa dan Hisam membincangkan mengenai wanita yang bernama Fatimah yang
tiba-tiba muncul. Semuanya senyap tanpa bicara. Lalu Kiai Rahman memulakan
bicaranya, “Tidak salah kalau lelaki berkahwin lebih dari seorang kerana itu
memang sunnah Rasulullah. Tapi kamu harus berlaku adil pada Anisa dan Fatimah.”
Hisam pun menjawab, “Hisam janji abah akan berlaku adil pada kedua-duanya.”
Anisa pula duduk menghadap ibu Hisam dan berkata, “Nisa mahu minta cerai ibu”.
Ibu Hisam, Puan Bai’eyah terkejut mendengar permintaan Anisa lalu beristighfar.
“Istighfar Anisa… Apa kamu fikir cerai itu perkara yang main-main… Suami tidak
akan menikah lagi kalau si isteri pandai memuaskan suami,” Anisa sungguh
terpukul dengan kata-kata ibu mertuanya. Apa lagi yang dia harus pertahankan
pada waktu ini. Anisa pasrah.
Suatu malam yang
hening, Hisam memaksa Fatimah melayani nafsu serakahnya. Walhal dia tahu
Fatimah sedang sarat mengandung. Fatimah tidak dapat menolak tubuh sasa Hisam
lalu membiarkan sahaja dirinya diperlakukan sebegitu. Anisa yang berada di
kamar luar hanya dapat menangis tanpa dapat berbuat apa-apa. Dia kematian akal.
Lewat malamnya pula, Anisa membantu Fatimah membersihkan darah yang keluar dari
celah paha Fatimah. Tiba-tiba Fatimah bersuara, “Ini Neraka Nisa. Kali pertama
aku berjumpa dengan dia, orangnya sangat sopan. Aku tahu dia ada isteri iaitu
kamu. Tapi, dia kata kamu bukan wanita pilihan dia dan kerap memburuk-burukkan
kamu.” Dengan tenang Anisa menjawab,”Allah tahu apa yang ada di dalam hati
kita.”
Fatimah sudah berasa
yang bayinya akan keluar pada bila-bila masa sahaja. Anisa segera menelefon
Hisam untuk membawa Fatimah ke hospital. Setelah beberapa jam berada di dewan
bersalin, akhirnya Fatimah selamat melahirkan bayi perempuan yang diberi nama
Fadhilah. Dalam tempoh berpantangnya, Fatimah mahu lagi melayani Hisam. “Nisa,
tolong jagakan Fadhilah sebentar ya”, pinta Fatimah tanpa rasa segan silu.
Hisam segera menutup pintu biliknya. Anisa berasa sakit hati melihat perangai
buruk suaminya bersama Fatimah. Hendak bersuara tapi ditakuti kalau pipinya
lebam dek tamparan percuma oleh Hisam. Sekali lagi, Anisa tewas.
Seperti biasa,
Anisa menjalankan rutin hariannya menyapu di luar rumah. Ketika itu, datang
seorang pembantu madrasah Al-Jawahir lalu dihulurkan surat yang berada di
tangannya kepada Anisa. “Assalamualaikum.. Kak Nisa, ni ada surat untuk kakak
dari abang Kudhori.” ujar pembantu itu. Dengan pantas Anisa membuka sampul
surat itu lalu dibaca isinya kandungannya.
Kepada Anisa,
Mungkin sudah terlambat untuk
mengatakan ini. Tapi, saya tak pernah tinggalkan awak, Nisa. Demi Allah,… Awak
membuatkan saya tidak mencintai perempuan lain, Nis. Tapi, semua tu dah Takdir.
Jika jalan yang terbaik untukmu terputus kerana saya, maka itu menjadi
sesalanku sekarang… Maafkan saya, Nur Anisa Binti Hanan…
Kudhori Azzam…
Anisa meminta izin Hisam untuk pulang ke madrasah Al-Jawahir. Alasannya
cuma mahu menziarahi umi dan walid yang sudah lama tidak berjumpa. Namun,
sebaliknya dia mahu menemui Kudhori di madrasah itu. Dia yakin bahawa Kudhori
berada di situ. Hisam tidak memalingkan mukanya ke arah Anisa yang sedang
meminta izin padanya. Dibiarkan sahaja Anisa begitu sambil mendodoi Fadhilah
manakala Fatimah duduk di sebelah Hisam. Anisa benci melihat mereka.
Setelah sampai di
madrasah Al-Jawahir, Anisa tidak segera mencari Kudhori kerana hatinya diburu
rasa kesedihan kerana ditinggal lama oleh sepupunya itu. Namun, Kudhori sempat
melihat wajah itu di hadapan pintu gerbang madrasah tersebut. Lantas Kudhori
menjerit memanggil nama Anisa. Ingin sahaja Anisa berlari melarikan diri tetapi
kakinya seperti dipaku tidak dapat berganjak walau selangkah pun. Kini, Kudhori
Azzam sudah tegak berdiri di hadapannya. “Nis, awak nak ke mana lagi…? Adakah
dengan melarikan diri itu boleh menyelesaikan masalah kita berdua…?” tanya
Kudhori. Lidah Anisa kelu untuk mengeluarkan kata-kata. Baginya seluruh
kehidupannya telah hancur musnah setelah kehilangan Kudhori. Apatah lagi
setelah dirinya dipaksa berkahwin dengan Hisam.
Suatu hari yang
hening, Madrasah Al-Jawahir dikejutkan dengan berita kematian walid Anisa,
iaitu Kiai Hanan. Sememangnya sebelum kematiannya, Kiai Hanan sering mengalami
sakit dada dan tidak mampu lagi mengurus madrasah. Kiai juga telah menyerahkan
tanggungjawab menguruskan madrasah kepada anak lelaki sulungnya, Reza Qalbi.
Ketika ini, pastilah umi Anisa, Puan Halimatul merasa amat sedih dengan
kehilangan suami tercinta. Meskipun suaminya seorang yang tegas, namun hati
Hawanya tidak pernah mengeluh. Kini, dia kehilangan tempat bergantung hidup.
Namun, kehilangan itu tidak akan sesekali mematahkan semangatnya.
Setelah diceraikan
oleh Hisam, Anisa kini bergelut dengan perasaannya sendiri. Hatinya berbelah
bahagi sama ada mahu menerima lamaran dari Kudhori atau menolaknya. Kudhori
telah menceritakan segala-galanya mengenai sebab kenapa dia bertindak
menghilangkan diri jauh ke Mesir. Dia tidak sanggup lagi ditinggalkan oleh
Kudhori. “Nur Anisa Binti Hanan. Demi Allah,… Nikah dengan ku…” Kudhori
mengulang ayat yang sama pada Anisa dengan tujuan untuk meyakinkan Anisa bahawa
kali ini dia bersungguh-sungguh mahu memperisterikan wanita itu. Anisa tidak
segera menjawab. Sebaliknya, wajahnya dibasahi oleh titisan air mata. Anisa
terharu. Di rumah pula, Anisa mengambil
masa berfikir dengan lamaran Kudhori. Akhirnya dia terlena di atas katil. Daam
lenanya, Anisa bertemu dengan almarhum walidnya, Kiai Hanan. “Walid, adakah
orang yang sudah meninggal dunia boleh hidup kembali…?” Walidnya hanya
mengangguk sambil tersenyum. Anisa yang berkain telekung berjalan mendekati
walidnya kemudian duduk menghadap, “Walid, maafkan Nisa… Selama ini Nisa banyak
sekali berbuat dosa pada walid…” Walidnya menepuk lembut bahu anaknya lalu
berkata, “tidak mengapa anakku. Walid redha…”
Sesungguhnya Allah
itu Maha Berkuasa ke atas segala-galanya di dunia ini. Takdirnya telah
menyatukan dua hati, Anisa dan Kudhori dalam sebuah ikatan pernikahan yang suci
lagi diredhai Allah. Dengan sekali lafaz sahaja, Nur Anisa Binti Hanan sah
bergelar isteri kepada Muhammad Kudhori Azzam. Ketika sedang mengaminkan doa
dalam majlis tersebut yang berlangsung di Masjid Al-Qudus, Anisa terpandang
sosok tubuh yang tidak asing lagi baginya iaitu almarhum walidnya. Almarhum
hanya menghulurkan senyuman tanda merestui pernikahan anaknya. Anisa bersyukur
yang tiada terhingga kerana doanya didengari oleh Allah. Kini, dia sah menjadi
milik Kudhori.
Anisa setelah dinikahi Kudhori…
Anisa dibawa oleh
Kudhori menuju ke rumah suaminya itu. Tidaklah mewah mana asalkan baginya
cukuplah memiliki Kudhori seorang suami yang baik. “Diminum dulu tehnya Nis…
Awak tu menaip sahaja kerjanya,” kata Kudhori sambil meletakkan secawan air teh
‘O’ untuk isterinya yang pantas menaip novel terbaharunya. “Syukran ya akhi…”
ucap Anisa sambil tersenyum ke arah suaminya yang sedang duduk sambil membuka
helaian akhbar. “Iya, sama-sama Nis… Jangan panggil saya akhi lah…Kita kan
sudah berkahwin. Panggil la saya dengan panggilan yang manja-manja. Panggil
‘cinta’ ke atau seperti Saidatina Aisyah, isteri Rasulullah. Memanggil suaminya
dengan nama, Muhammad… Tak kan awak pun tak boleh…?” tanya Kudhori sengaja
ingin melihat Anisa tersenyum manis. “Tak mahu lah saya… Tak biasa… Haaaa…
macam mana kalau saya panggil ‘abang’… boleh kan..?” pinta Anisa. “Ya sudah
kalau macam tu. Abang pun boleh la sayang… daripada tak ada…” Kudhori pantas
mencuit hidung isterinya itu.
Dua hari kemudian,
Anisa mencari pekerjaan yang berdekatan dengan rumahnya. Dia tidak mahu hanya
bergantung hidup pada Kudhori sahaja. Setelah mencuba di merata tempat,
akhirnya Anisa berjaya mendapatkan pekerjaan iaitu sebagai penasihat peguam
syariah. Pada awalnya, dia keberatan untuk menerima pekerjaan tersebut. Namun,
setelah dipujuk oleh bakal majikannya. Hatinya dengan rela menerima tawaran
tersebut. Baru sahaja Anisa diterima bekerja, dia dikehendaki menangani kes
seorang wanita yang dikatakan telah menjadi mangsa keganasan rumahtangga. Dia
pernah mengalami seperti mana yang diceritakan oleh wanita itu. Justeru itu,
dia mahu membela nasib wanita itu daripada terus menjadi korban. Pelbagai usaha
telah pun dilakukan oleh Anisa bagi memastikan kes anak guam majikannya itu
berjaya. Kudhori tidak henti-henti memberikannya kata-kata semangat dan
mendoakan supaya Anisa berjaya dalam pekerjaannya.
Nasib menyebelahi Anisa
dan anak guam majikannya. Akhirnya, pihak mahkamah meluluskan permohonan cerai
yang telah dibuat oleh wanita itu. Anisa merasa puas kerana kemenangan itu
berpihak kepadanya untuk menuntut hak kebebasan kaum wanita. “Abang bahagia
sekali ada isteri seperti Nisa. Cantik… Pintar pulak tu…,” puji Kudhori
memancing hati Anisa. “Nisa nak abang… Nisa perlukan abang…,” pinta Anisa
dengan harapan suaminya memahami kehendak hatinya. Sebaliknya, Kudhori
menghulurkan senyuman lalu berkata, “Jom, kita pergi ziarah umi di madrasah…
kan dah lama kita tak pergi..” Anisa pantas menggenggam pergelangan tangan
suaminya dan menggelengkan kepala, “Nisa tak nak pergi. Nisa nak abang…” hati
suami mana yang tidak gembira setelah dipujuk isteri sebegitu. Akhirnya mereka
pun pulang ke rumah.
Setelah beberapa
bulan kemudian, Anisa telah disahkan hamil 2 bulan. Kudhori mengajak isterinya
pulang ke madrasah memandangkan mereka sudah lama tidak menziarahi umi Anisa.
“Abang Reza ke mana umi..? Abang Ziad tahu mana abang Reza ?” tanya Anisa
sewaktu mereka berada di meja makan. Lalu Ziad pun menjawab, “Oh, abang Reza
tak ada. Dia ke Surabaya. Katanya ada acara penyampaian Al-Quran kepada
anak-anak madrasah di sana…” tiba-tiba Anisa berkata, “Alah abang tak payah
tipu la, macam la Nisa tak tahu. Sebenarnya abang Reza tak nak pulang sebab ada
abang Kudhori kan…” Ziad kelihatan serba salah dengan kenyataan adiknya itu.
Memang benar, abang sulungnya itu tidak begitu menyukai Kudhori sejak dari awal
lagi. Kudhori yang sedari tadi hanya diam memintas perbualan itu agar tidak
menjadi tegang. “Maafkan saya umi, abang”. Dengan lembut Puan Halimatul
menjawab, “tiada yang salah. Semua orang punya sikap. Yang penting ikhlas dan
saling menghargai sikap”. “Umi pintar,” balas Anisa hingga membuatkan uminya
tersenyum.
Sedang asyik mereka
berbual-bual, tiba-tiba mereka didatangi oleh seseorang. “Assalamualaikum…”
Hisam, mantan suami Anisa memberikan salam terlebih dahulu. Anisa merasa jijik
melihat Hisam kerana mengingatkan dia pada perbuatan Hisam padanya sewaktu
mereka masih menjadi suami isteri. Kudhori yang melihat perubahan pada wajah
Anisa segera menenangkan isterinya itu. Kudhori faham situasi yang pernah
dialami oleh Anisa ketika bersama Hisam suatu ketika dahulu. Hisam sengaja
mempamerkan dirinya yang pura-pura baik dan polos di hadapan Kudhori. Dia
mencari idea jahat untuk menghancurkan suami Anisa. Dia nekad walaupun terpaksa
membunuh demi memuaskan hatinya.
“Abang !!! Abang nak
pergi jugak ke…? Lagipun tayar motor tu kan tak ok lagi… Tak mengapalah..Kita
balik ke rumah naik teksi aje…” ujar Anisa kepada suaminya yang kelihatan
sedang berusaha membaiki tayar motorsikalnya yang pancit. “Tak apalah Nis..
Abang nak ke pekan sebentar betulkan tayar motor ni. Biar kita cepat sampai ke
rumah kita…. Biar isteri abang yang cantik ni tak marah-marah lagi…” ujar
Kudhori sambil memujuk isterinya itu. Faham benar dengan sikap isterinya yang
tidak suka apabila Hisam datang ke madrasah tersebut. “Baiklah Nisa… Abang
pergi dulu ya.. Anak abi…Jaga umi baik-baik ya..Abi pergi sekejap sahaja...,”
Kudhori meminta izin pada Anisa sambil mengucup perut isterinya itu. Seperti
biasa, Anisa akan bersalaman dengan Kudhori. Setelah itu, Kudhori memanggil
Anisa dan berkata, “Nisa,.. apa pun yang terjadi. Abang akan selalu ada di
samping Nisa.. Sayang tetap ada di hati abang..” Anisa tidak menjawab. Hanya mampu tersenyum
walhal di dalam fikirannya terselit 1001 persoalan dengan sikap suaminya itu.
Ketika dalam
perjalanan menuju ke pekan, motorsikal yang ditunggangi oleh Kudhori tiba-tiba
melanggar seketul batu dan menyebabkan motorsikalnya hilang kawalan lalu
Kudhori terjatuh di atas laluan jalan raya. Belum sempat dia hendak bangun
tiba-tiba muncul sebuah kereta pajero yang dipandu laju melanggar Kudhori di
situ. Pemandu yang memandu kereta itu tidak sedikit pun patah balik sebaliknya
terus sahaja pergi meninggalkan Kudhori sebaik sahaja berjaya melanggarnya.
Hati Hisam berasa puas yang teramat sangat kerana akhirnya dia berjaya
melakukan apa yang dihajatinya. Dia tidak akan membiarkan Anisa dan Kudhori
hidup dalam kebahagiaan. Dendamnya yang kesumat pada Anisa menyebabkan dia
hilang pedoman. Tidak mahu mengaku kalah begitu sahaja.
Di rumah pula, Anisa
tertidur dengan lena sekali. Penat menunggu suaminya pulang akhirnya dia
tertidur di kamarnya. Dalam tidurnya itu, dia bermimpikan Kudhori. Ketika itu,
dia yang sedang sarat mengandung pergi ke madrasah dengan derap langkah yang
perlahan dan hati yang berwalang penuh duka melangkah masuk ke ruang masjid
madrasah itu. Laju sahaja air matanya berguguran ke pipi tatkala melihat wajah
suami tercinta sudah terbaring dan terbujur kaku. Melihat umi, abang Reza,
abang Ziad dan para penghuni madrasah tersebut sedang membacakan surah Yaasiin
menambahkan lagi kesayuan di hati Anisa. “Abang !!!!!!!!!!” Anisa terjaga dari
tidurnya lalu keluar dari kamar memanggil suaminya. “Abang !!! Abang !!! Abang
di mana…!!!,” Tiba-tiba dia terdengar pintu rumahnya dikuak dari luar. Hatinya
sangat lega. Dia yakin itu suaminya. Namun sangkaannya meleset sama sekali kerana
yang datang itu bukan suaminya tetapi uminya yang berwajah muram sudah
semestinya membawa berita duka untuknya. “Maafkan Nisa abang…Ini semua salah
Nisa… Maafkan Nisa…” rintih Anisa. Sesiapa pun yang melihatnya pasti turut
merasa sayu.
2 minggu selepas pemergian almarhum suami tercinta….
Seperti biasa, Anisa
akan ke madrasah Al-Jawahir untuk menziarahi uminya di situ. Belum sempat Anisa
masuk ke dalam rumah, Anisa mengaduh kesakitan yang kian mencucuk di perutnya.
Ziad yang berada di situ pantas mendapatkan adiknya dan menjerit meminta
pertolongan umi dan abang sulungnya. Mereka segera membawa Anisa ke hospital.
Hampir dua jam Anisa berada dalam dewan bersalin, akhirnya dia selamat
melahirkan seorang bayi lelaki dan diberi nama Muhammad Hamka Bin Muhammad
Kudhori Azzam. Sungguh, Anisa berasa sangat bersyukur pada Yang Maha Esa yang
kerana dapat melahirkan zuriat untuk almarhum suaminya, Kudhori. Meskipun
anaknya lahir tanpa abinya di sisi, namun itu tidak sedikit pun mengecewakan
hati Hawanya apatah lagi dia merasakan bahawa almarhum sentiasa ada bersamanya
setiap detik. Begitu cekalnya hati Anisa umpama Siti Mariam yang hidup pada
zaman kenabian.
Ketika usia Muhammad Hamka sekitar 5 tahun…
Anisa menunggang kuda
bersama-sama dengan anaknya, Hamka di tepi pantai Sulawesi. Waktu petang yang
sangat indah lagi mendamaikan apatah lagi dengan bunyi pukulan ombak pantai
tersebut. Tiba-tiba anak kecil itu bertanya kepada uminya, Anisa. “Abi itu
macam mana orangnya umi…?” Dengan lembut Anisa menerangkan, “Abi itu mukanya
persis seperti kamu. Apatah lagi bibirnya. Abi itu adalah orang kedua yang
paling baik dalam hidup umi. Justeru itu, Hamka mestilah jadi anak yang baik ya..”.
Anaknya bertanya lagi, “Kalau yang pertama siapa pula umi ?” Anisa tersenyum
mendengar pertanyaan anak kecil itu lalu menjawab, “Yang pertama itu namanya
Halimatul Sa’diah. Itu kan nama atuk puteri kamu sayang…” Hamka pun menyambut
jawapan uminya dengan sebutan, “Ooooo”…
Anisa telah
meleraikan ikatan kain serban yang sejak tadi menutupi separuh wajahnya lalu
dilepaskan jatuh ke atas pasir di tepi pantai Sulawesi itu. Baginya kini, dia
merasakan kebebasan bersama anaknya. Prinsip yang selama ini cuba ditanamkan
dalam dirinya. “Allah juga memberikan manusia kebebasan. Mahu jadi apa pun kita
nanti, pilihlah jalan Allah dengan merasa bebas dan dengan hati yang ikhlas. Dengan
begitu, In Shaa Allah kita akan hidup dengan tenang dan tanpa rasa benci”. Kebebasan
itu adalah hak seluruh kaum wanita yang muslimat.
~SEKIAN~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan