Sebarkan Bahagia

Sebarkan Bahagia

Watching My Video Clip

Selasa, 17 Mac 2015

~Santapan Khas Dari Penulis~







Di Jepun, Sakura kerap kali dikaitkan dengan perempuan (kerana melambangkan kecantikan & keindahan), atau sebagai simbol untuk mengekspresikan ikatan antara manusia.


Dari sakura kita boleh belajar. Belajar apa ??? Belajar memaknai hidup, memaknai cinta…….


SAKURA Di MALAYSIA


  E

 mbun telus gugur dari langit lalu mencerminkan rona-rona kesegaran hijau yang masih mentah. Gunung itu membiru balam-balam. Atmaku dicakar resah, diganggu gundah dan gelabah, disentap bicara, dihiris sembilu tajam dan akhirnya gugur bagai seroja di pusara. Kuasai minda, takluki bicara, mencantas dambaan, genggam erat tak usah lepaskan dek lantai marmar menakung hambar. Begitulah ibaratnya kehidupan insan yang bernama Syarifah Iman Syakinah yang baginya cukup asing pabila baru pertama kali menjejakkan kaki di bumi Malaysia.

               Hati Syakinah seperti meronta-ronta seboleh-bolehnya mahu terbang ke Malaysia demi mencari ayah yang tidak pernah bersua sedari kecil lagi. Tajul Razen menghantar telegram kepada Syakinah yang memberitahu bahawa ayah Syakinah jatuh sakit dan meminta Syakinah pulang. Dia tidak sabar menerima berita itu lantas menempah tiket penerbangan dari kota London ke Malaysia. Pada awalnya mama Syakinah iaitu Shereen tidak berapa setuju atas permintaan anaknya yang mahu pulang ke Malaysia untuk bertemu dengan Syed Adami iaitu mantan suaminya yang telah lama menceraikannya.  Namun dia tidak mahu menghalang kemahuan anaknya itu. Bagi Shereen anaknya perlu tahu siapa ayah kandungnya meskipun ada sedikit kemarahan timbul jauh di sudut hati Shereen kepada Syed Adami.

2 hari kemudian,… Di Malaysia

               Syakinah tiba di banglo besar kepunyaan keluarga Tajul Razen. “Anak cari siapa ya ?” tiba-tiba satu suara menegur Syakinah dari arah belakang. “A……a…adakah ni rumah Encik Tajul Razen ?” tanya Syakinah yang tiba-tiba gagap dek gara-gara terkejut. “Oh, betul la tu. Ni Syarifah Iman Syakinah kan ? Allah…Ni uncle Syed Mukhlis. Maaf lah uncle tak berapa cam kamu. How are you Syakinah ?” tanya Syed Mukhlis iaitu papa kepada Tajul Razen. “Actually, saya yang patut minta maaf uncle sebab saya pun tak berapa cam uncle. Manakan tidak, kita jumpa last masa saya umur 12 tahun. And Alhamdulillah, saya sihat”, giliran Syakinah pula meminta maaf. Syakinah disuruh masuk ke ruang tamu banglo tersebut. Syakinah berasa segan pula dengan keluarga Tajul Razen. Namun, apakan daya dia akan tetap dengan keputusannya mahu berada di Malaysia sehinggalah dapat berjumpa dengan Syed Adami.


              Tajul Razen dan Syed Mukhlis menyambut kedatangan Syakinah dengan gembira sekali namun berlainan pula dengan isteri Syed Mukhlis, Tengku Rania. Wajahnya kelihatan masam mencuka apabila memandang Syakinah. Hatinya sakit sekali kerana yang datang itu bukan orang lain tetapi anak saudaranya iaitu anak kandung kepada Syed Adami dan Shereen, madu kakaknya sendiri, Tengku Safiya. Sehingga kini, Tengku Safiya tidak mengetahui bahawa Syed Adami ada anak yang bernama Syarifah Iman Syakinah. Rahsia yang benar-benar dijaga ketat oleh Syed Mukhlis sekeluarga. Bimbang jika rahsia itu terbongkar, Tengku Safiya tidak dapat menerima hakikat bahawa dia pernah dimadukan.

              Syed Mukhlis meminta Syakinah tinggal di rumahnya untuk seminggu dua sementara mencari peluang yang sesuai untuk menemukan Syed Adami dengan Syakinah. Serba salah Syakinah dengan permintaan Syed Mukhlis namun dia terpaksa akur demi ayah yang dirinduinya sekian lama. Di dalam bilik pula, Tengku Rania meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya pada suaminya, Syed Mukhlis. “Abang ni dah kenapa ha ? Abang tahu kan siapa Syakinah tu. Saya tak suka dia ada kat sini. Kalau Kak Engku tahu macam mana bang… Hati saya sakit bila tengok muka dia tu”, Tengku Rania melepaskan semuanya. Namun dengan lembut suaminya menjawab, “Nia, tak bolehkah awak bertolak ansur sedikit dengan dia ? Cuma untuk seminggu dua sahaja. Bersabarlah… Abang dah janji dengan abang Adami yang abang akan cari Syakinah dan pertemukan mereka berdua. Abang Adami rindu benar dengan Syakinah Nia. Tolonglah faham. Kesian Syakinah…,” ujar Syed Mukhlis berharap agar sang isteri memahami situasi sedemikian. Tengku Rania terdiam selepas itu.

              Keesokkan harinya, Syakinah berjalan-jalan mengambil udara segar di sekitar taman bunga milik keluarga Syed Mukhlis. “Ya Allah, betapa indahnya ciptaanMu”, gumam Syakinah sendirian sambil melihat bunga-bunga sakura berguguran di atas kerusi yang didudukinya sekarang. Sememangnya kini, Malaysia mengalami musim bunga. Sambil menghirup udara segar pada waktu pagi yang indah itu, bergenang air mata di kelopak mata Syakinah. “Ayahhhhh, Ina rindukan ayah. Ayah kat mana sekarang ni…Ina nak jumpa ayah…,” rintih Syakinah dalam kesayuan. Tika Syakinah hanyut dek perasaanya itu, Tajul Razen mendekati Syakinah, “Hai good morning Princess Syakinah hoiiii !”… Tak elok tau menangis pagi-pagi yang indah ni. Buruk benar rupa awak…Haha.. Zen faham apa yang Syakinah fikirkan saat ni. Tapi, Zen harap Syakinah banyak-banyakkan bersabar, k… Demi ayah Adami,…” ujar Tajul Razen memberi semangat kepada Syakinah sambil bergurau. Syakinah segera menyeka air mata daripada turun membasahi pipi.

            Tengku Safiya menjalankan rutinnya seperti biasa iaitu melawat suami tercinta, Syed Adami di Hospital Tuanku Nur Zahirah. Syed Adami ditempatkan di wad VVIP. Hampir sebulan abang Syed di hospital itu akibat penyakit jantung yang dihidapinya. Segala urusan bisnes syarikat milik SA Holdings ditangani sepenuhnya oleh anak-anak Syed Adami dan Tengku Safiya iaitu Tengku Daniel dan Syarifah Azalea. Syed Adami kelihatannya sedang tidur lena. Tengku Safiya tidak mahu mengejutkan suaminya. “Lena betul abang tidur. Barangkali abang baru lepas makan ubat”, gumam Tengku Safiya sendirian. 2 jam kemudian, Syed Adami tersedar dari lenanya, dilihat isterinya tertidur di sebelah suaminya. Niatnya mahu membiarkan sahaja. Kasihan melihat isterinya itu sanggup menjaganya siang dan malam. Tak mahu langsung berpisah dengannya.

            Syarifah membatalkan hasratnya yang mahu melawat ayahnya. Tapi, membelokkan keretanya ke arah jalan yang menghala ke rumah keluarga Tajul Razen. Kepingin sekali melihat sepupunya itu. Apa khabar ya dia sekarang… 5 minit kemudian kereta Toyota Altis yang dipandu Syarifah Azalea memasuki ke perkarangan banglo besar itu. Tanpa disuruh masuk oleh orang gaji di situ, Syarifah Azalea terus meluru mendapatkan Tengku Rania yang sedang sibuk menyediakan juadah untuk makan tengah hari. “Aunty !!!!! Rindunya kat aunty… aunty apa khabar ? Mana Razen ?” tanya Azalea sambil terus bersalaman dengan Tengku Rania. Rambut halusnya sengaja dilepaskan tanpa diikat. Wajahnya memang persis Syed Adami. Anak ayah la katakan. Tengku Rania pun menjawab,”Alhamdulillah, aunty sihat je. Razen, kalau tak silap aunty dia ada kat atas. Biasalah waktu macam ni, dia suka memerap dalam bilik. Entah apa dibuatnya. Dah terlanjur Aza datang ni, lunch kat sini ya, “pelawa Tengku Rania. Pantas Syarifah Azalea menjawab,”Ok aunty. No hal. Lagipun Aza nak jumpa Razen,”.

            Tengku Rania menyuruh pembantunya mengajak Tajul Razen dan Syakinah turun menikmati makan tengah hari bersama-sama. “Well Aza, kita ada tetamu khas dari kota London,” ujar Tengku Rania sambil berharap bahawa anak saudaranya itu tidak mencurigai apa-apa mengenai kedatangan Syakinah ke sini. “Wow, it’s great ! Siapa tu aunty ? Perempuan ke ?,” tiba-tiba Syarifah Azalea dibayangi perasaan cemburu. “Yes, absolutely….”, jawab Tengku Rania bersahaja. Razen dan Syakinah berjalan beriringan menuju ke meja makan. Syakinah terpana seketika pabila melihat wajah yang datang ke rumah itu. “Syarifah Azalea !!! Adakah dia kakak kandungku ???,” hati Syakinah berbisik. Syarifah Azalea menghulurkan tangan mahu bersalaman dengan Syakinah seraya berkata,”Oh ini dia Syarifah Iman Syakinah kan…I still remember you Ina even masa kita jumpa tu umur you 12 tahun right,” ujar Azalea sambil matanya melirik ke arah Razen di sebelah mak saudaranya. Hati Azalea sakit pabila melihat kemesraan yang dipamerkan oleh Razen dan Syakinah.

           Syed Mukhlis merancang sesuatu bagaimana mahu menemukan 2 beranak itu, Syakinah dan abang Syed Adami. Strategi mestilah diatur dengan bijak supaya Tengku Safiya tidak mengetahui akan kehadiran Syakinah. Namun, adakah ini yang dikatakan idea yang bijak dengan menemukan mereka berdua sedangkan keadaan kesihatan abang Syed Adami tidak begitu mengizinkan. Tiba-tiba Syed Mukhlis teringat akan kata-kata yang memintanya mencari Syakinah sebelum dia pergi. Sekarang, Syakinah sudah berada di rumahnya. Cuma masanya belum tepat lagi untuk membawa Syakinah bertemu dengan ayahnya. Syed Mukhlis tahu bahawa anaknya, Razen mesti punya idea yang bijak. Isterinya, Tengku Rania sudah berkali-kali menyuruhnya membuka rahsia yang sekian lama disimpan rapi mengenai kehadiran Syakinah sebagai anak kandung abang Syed Adami dan mantan isterinya, Shereen. Namun, Syed Mukhlis tidak sekali-kali membuka rahsia itu kerana dia sudah pun berjanji dengan abang Adami. Suatu ketika nanti, abang Adami sendiri yang akan membuka rahsia itu. Tapi tidak tahu sampai bila mahu dirahsiakan.

Di Hospital Tuanku Nur Zahirah,

            Keadaan kesihatan Syed Adami semakin membimbangkan. Batuknya semakin kerap. Tengku Safiya hiba melihat keadaan suaminya itu. Setelah batuknya kian reda Syed Adami menegur isterinya, “Fiya sayang, abang tak mau tengok air mata tu turun lagi. Kalau Fiya sayangkan abang, jangan menangis ya. Abang sayangkan Fiya. Sayangkan anak-anak kita”. Lalu Tengku Safiya pun menjawab dalam sendu, “Fiya tak sanggup tengok abang macam ni. Sapa yang nak jaga Fiya lepas ni kalau abang dah tak ada… Abang jangan tinggalkan Fiya. Anak-anak kita perlukan abang. Terutamanya Azalea. Dia kan rapat dengan abang”. Dengan lembut suaminya pula menjawab, “Fiya doakanlah abang cepat sihat ya. Abang tak sakit teruk pun…. Fiya tu berhenti la menangis. Buruk la muka isteri abang ni,…” Sempat lagi Syed Adami mengenakan isterinya walaupun tahu dirinya sudah tidak bermaya seperti dahulu. Dia tidak mahu mempamerkan wajahnya yang berkerut kepada isterinya dek kerana menahan sakit.

            Hati Syed Adami bagai direntap kerana terlalu merindui anak kandungnya bersama Shereen, iaitu Syakinah. Dia sudah mengamanatkan Syed Mukhlis untuk mencari Syakinah dan dibawa berjumpa dengannya. Jiwanya diburu perasaan bersalah pada Syakinah, isterinya Tengku Safiya dan 2 lagi anaknya yang lain. “Bagaimana nanti perasaan Tengku Safiya bila mengetahui aku ada anak bersama bekas madunya,” gumam Syed Adami sendirian. Dia meraup wajahnya dengan seribu kekesalan. Doktor yang merawat Syed Adami ada memberitahu bahawa keadaan kesihatan Syed Adami di kala ini sangat membimbangkan tambahan pula doktor itu meramalkan tempoh dia hidup sudah tidak lama lagi. Dia tahu itu ramalan seorang doktor. Tapi, dia tidak menolak kemungkinan andai memang itu yang ditakdirkan oleh Allah untuknya. Berita itu dirahsiakan daripada pengetahuan isteri dan anak-anaknya kecuali Syed Mukhlis. Hanya kepada Syed Mukhlis dia boleh mencurahkan segalanya yang terpendam di hati.

Di taman bunga kepunyaan keluarga Syed Mukhlis,

            Syakinah leka mengumpulkan kuntuman bunga-bunga yang gugur dari pokok bunga sakura di Taman Bunga Airish. Seronok rasanya bila dapat bermain-main di bawah pohon bunga sakura lalu ingatannya diterpa rasa rindu pada kota London. Rindu pada mamanya. Rindu akan suasana di situ namun misinya di sini belum lagi tamat. Dia nekad mahu berjumpa ayahnya. Setitis, dua titis air matanya berguguran jua ke pipi. Hatinya bagai mahu menjerit nama ayahnya. Apakan daya, dia terpaksa menurut kemahuan Syed Mukhlis supaya merahsiakan identitinya dan harus bersembunyi daripada pengetahuan keluarga Tengku Safiya seperti orang pelarian pula. “Ahhh…kenapa begitu sukar untuk aku berjumpa dengan ayah kandungku sendiri…”, rintih Syakinah.

           Syed Mukhlis berbincang dengan isterinya mengenai misi penemuan 2 beranak itu, iaitu Syakinah dan abang Syed Adami. Rancangan itu mahu disegerakan secepat yang mungkin, ditakuti abang Adami tidak sempat menatapi wajah anak yang amat dirinduinya itu. Meskipun ada pertikaman lidah antara Syed Mukhlis dan isterinya, Tengku Rania, namun akhirnya isterinya itu terpaksa jua mengalah atas sebab kasihan melihat Syakinah kerana lebih lama budak itu di rumah ini, rahsia mereka akan terbongkar dan boleh jadi Kak Engku Safiya membenci mereka untuk seumur hidup. Itu yang menjadi igauan buruk kepada Tengku Rania.

            Keesokkan harinya pula, Syed Mukhlis nekad mahu menemukan 2 beranak itu. Dia akan mencari apa sahaja alasan yang munasabah supaya Syakinah boleh bertemu dengan ayahnya, Syed Adami tanpa diketahui oleh Tengku Safiya, Tengku Daniel dan Syarifah Azalea. Itu sudah pasti kerana hari inilah peluang terakhir untuk Syakinah berjumpa dengan ayahnya. Dalam hatinya ada sedikit bimbang mengenai reaksi abang Adami tambahan pula dengan keadaan kesihatannya yang semakin tenat. Tajul Razen menyuruh Syakinah menaiki keretanya supaya cepat sampai di HTNZ manakala ayahnya Syed Mukhlis keluar terlebih dahulu supaya dapat berjumpa dengan Tengku Safiya dan dapat mengalihkan perhatian kak Engku untuk memberi ruang menemukan 2 beranak itu. Inilah kerja yang paling merumitkan namun mahu atau tidak, ini adalah amanat daripada abang Adami sendiri.

            Tidak lama kemudian, Syed Mukhlis terlihat kelibat Kak Engku sedang duduk menemani abang Adami. “Assalamualaikum Kak Engku ! Saya fikir lebih elok kalau kak Engku pulang dahulu. Biar saya yang gantikan tempat kak Engku jaga abang Adami. Kesian kak Engku, mata kak Engku dah sembap tu. Tak cukup tidur. Rehat lah ya,” Syed Mukhlis memujuk Tengku Safiya. Syed Mukhlis tahu Tengku Safiya keberatan meninggalkan suaminya namun apakan daya dirinya juga tidak terlarat lagi. Maka, dia akur dengan pujukan adik iparnya itu. “Ok lah, tapi kalau ada apa-apa dengan abang Syed, terus je call kak Engku,” ujar Tengku Safiya lalu pergi meninggalkan Syed Mukhlis bersama suaminya.

            20 minit kemudian, Tajul Razen dan Syakinah tiba di HTNZ. Razen segera membawa Syakinah ke wad VVIP yang menempatkan ayah Syakinah. Derapan langkah Syakinah kian laju mengekori Razen. Yang pasti di kala ini hatinya sudah tidak tahan lagi mahu segera berjumpa dengan ayahnya. Inilah masa yang ditunggu-tunggu oleh Syed Adami dan Syakinah. Tajul Razen hanya menunggu di luar sahaja lantas bertindak sebagai pemerhati takut seandainya mak saudaranya atau Tengku Daniel dan Syarifah Azalea tiba-tiba datang. Dibiarkan ayahnya Syed Mukhlis berada di dalam menemani Syakinah. “A……a…ayah, ni Ina ayah… anak ayah…ina rindu sangat kat ayah…,” Syakinah berkata dalam sendu tangisan yang tiada tertahan lagi sejurus selepas memasuki wad VVIP tersebut. Syed Adami hanya mampu tersenyum melihat anak gadisnya yang berwajah cantik dan sudah dewasa kini. Kini, perasaan bersalahnya pada Syakinah telah pun terubat setelah puas melihat wajah anak yang dirindui itu. Syed Adami berpelukan dengan anaknya lantas menggenggam jari-jemari Syakinah seraya berbisik ke telinga Syakinah, “anak ayah jaga diri baik-baik ya. Ayah dah nak pergi… Sampaikan salam ayah pada mama Shereen dan katakan padanya maafkan ayah…Ayah terpaksa melakukan semua ni…. Dan ayah setuju kalau kamu berkahwin dengan Tajul Razen. Dia anak yang baik,…”

            Syakinah diterjah perasaan keliru. Dia seakan sukar percaya dengan apa yang didengarinya tadi. Namun, dia harus membuat keputusan yang bijak. Kerana Malaysia bukan tempat tinggalnya. Tujuan dia cumalah satu sahaja iaitu bertemu dengan ayahnya. Dan kini, Alhamdulillah…Misinya telah Berjaya. Syakinah tidak dapat lama berada di situ kerana ibu tirinya, Tengku Safiya dalam perjalanan menuju ke HTNZ. Dengan hati yang separuh rela, Syakinah terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada ayahnya. Dia gembira hasratnya tertunai jua. Syakinah mengucapkan terima kasih yang tiada terhingga kepada Syed Mukhlis, Tajul Razen dan Tengku Rania kerana berusaha mencari jalan untuk menemukannya dengan ayah tercinta. Syakinah tidak mahu menunggu lama di Malaysia dan terus membuat keputusan menempah tiket penerbangan ke kota London. Dia harus pulang untuk berjumpa mamanya. Kasihan mamanya kerana bersendirian di sana.

           Namun dengan Takdir Ilahi, sebelum sempat Syakinah terbang ke London, dia dikhabarkan bahawa ayahnya telah meninggal dunia pada sebelah malam selepas mereka berdua bertemu. Sudah semestinya Syakinah adalah orang yang paling sedih sekali kerana di kala ini dia tidak dapat bersama-sama menatapi wajah ayahnya untuk kali yang terakhir kerana kekangan Tengku Safiya. Syakinah kecewa namun apakan daya dia terpaksa akur. Dia ikhlas menerima suratan takdir ini. Tajul Razen berusaha menggembirakan hati Syakinah yang masih diselubungi kesedihan. Setelah 3 hari kemudian, Syakinah tetap dengan keputusannya mahu pulang ke London dan penerbangannya dijadualkan pada jam 2 petang. Sebelum berangkat, Syakinah mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga Syed Mukhlis. Tengku Rania pula sudah berubah tingkahnya terhadap Syakinah. Kini, mama Razen sudah mahu tersenyum kepadanya.

           Syakinah membawa hatinya yang duka lara ke kota London. Misinya di Malaysia telah pun tamat. Namun, di hatinya ada sedikit kegusaran mengenai persetujuan arwah ayahnya yang mahu dia berkahwin dengan Tajul Razen. “Adakah terpalit rasa cinta di hati Razen untukku…?” Syakinah hanyut dalam lamunannya. Syakinah membuang pandangan ke arah penumpang yang berada di sebelahnya. Syakinah terkejut kerana penumpang itu adalah Tajul Razen. Dan kini Razen perasaan akan perubahan pada wajah Syakinah lantas tangannya memegang handphone Samsung miliknya dan kelihatannya pantas menaip sesuatu. Seketika kemudian, Syakinah mendapat mesej dari Razen. *”Maafkan Zen, Ina. Zen tak dapat nak berterus-terang dengan Ina disebabkan masa kita terlalu singkat. Zen cintakan Ina dan Zen nak jadikan Ina sebagai suri hidup Zen… Sudikah Ina…???” Syakinah tidak dapat menahan air matanya lalu turun laju membasahi pipinya yang mulus.

            Setibanya di kota London, di sana mama Shereen sedang menunggu ketibaan Syakinah. Ternyata bukan mamanya seorang di situ namun ditemani oleh Syarifah Azalea. Syakinah tergamam seketika. Aneh yang dirasakan ketika itu. Sebaik sahaja Syakinah bersalaman dengan mamanya, Syarifah Azalea lantas memeluknya lalu berkata, “maafkan kakak, and akak diminta jadi wakil sarungkan cincin ni pada adik… Adik berhak mendapatkan cinta Razen sebab adik sentiasa ada di hati dia….” Syakinah hanya terdiam tanpa berdaya mengeluarkan kata-kata. Yang pasti di saat ini, hatinya teramatlah bersyukur pada Ilahi kerana tidak lama lagi dia akan disatukan dengan Tajul Razen. Sesungguhnya ada hikmah di sebalik kedukaan.

19 MAC 2015

            Musim bunga di kota London segera mengingatkan Syakinah pada bumi Malaysia. Di taman bunga milik keluarga Syed Mukhlis itulah tempat dia mencurahkan isi hatinya sambil mengumpul kuntuman-kuntuman bunga sakura. Kini giliran musim bunga di London pula. Hatinya berbunga riang tatkala memandang wajah suami tercinta, Tajul Razen. Syakinah mengusap lembut perutnya yang kian membesar dan kini usia kandungannya sudah hampir mencecah 8 bulan. Kakaknya Syarifah Azalea kini sedang sibuk mengusahakan butik fesyen di sekitar Kota London yang dibina dengan usahanya sendiri dan mamanya turut dilantik sebagai ketua eksekutif butik tersebut. Dalam hati Syakinah berdoa mudah-mudahan roh arwah ayahnya dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Tajul Razen membelai lembut pipi isterinya itu sambil berharap dalam hati mudah-mudahan musim bunga yang indah di kota London ini menambah keriangan di hati isteri tercinta. “Syakinah sayang… Ina lah sakura abang. Thanks so much sayang,” ucap Razen dengan penuh ikhlas lantas mengucup lembut ubun-ubun isterinya itu dengan penuh kasih dan sayang.

~SEKIAN~




















Tiada ulasan:

Catat Ulasan