| A |
ngin bertiup sepoi-sepoi bahasa dari arah laut China Selatan. Aku sedang meneliti berita yang telah aku buat pada petang semalam. Aku kini bertugas sebagai pemberita di sebuah syarikat terkemuka di sekitar Kuala Lumpur iaitu Akhbar Bacaria. Tidak lama kemudian, aku terdengar ada bunyi yang telah pun mematikan lamunanku. Rupa-rupanya, telefon bimbitku mengeluarkan irama yang menandakan ada seseorang yang menghubungiku. Aku segera mencapainya dan menekan butang hijau maka kedengaranlah suara En. Mustaza iaitu seorang pengurus syarikat Akhbar Bacaria. “Hello Qis, awak kat mana ?”. “Saya kat rumah, ke mana lagi”. “Qis, saya nak esok awak ke Hutan Keningau, Sabah. Sebab ada tragedi pembunuhan yang dilaporkan telah berlaku di sana. Awak buat liputan lanjut dan tiket, saya dah uruskan. Penerbangan awak pada jam 8 pagi. Baiklah, itu saja”. “Apa ni, tak kan tak ada orang lain yang nak pergi ke sana. Kenapa mesti saya ?”. “Sudah, jangan nak banyak cerita. Pergi saja. Lagipun, tiket penerbangan free, awak tak nak ke ?” Kemudian, talian di sebelah sana diputuskan. Aku berfikir sejenak, alangkah bagusnya aku dapat pergi ke Sabah. Dapat melancong dan dapat berita pasal kes pembunuhan itu.
Alhamdulillah, akhirnya aku sudah sampai di Negeri Bawah Bayu ini. Aku menempah sebuah bilik di hotel yang berdekatan untuk menghilangkan rasa penat yang sudah menjalar di seluruh tubuhku. Pada keesokkan harinya, aku berjalan-jalan dan tibalah di sebuah kedai makanan. Aku singgah di situ untuk menikmati sarapan pagi. Tidak lama selepas itu, mataku tertancap pada susuk tubuh seorang lelaki bersama sahabatnya. Sesekali, matanya menjeling ke arahku. Aku buat tak tau sahaja. Kemudian, dia memulakan bicara “Ondu, aku rasa arwah Salina dan Tuan Berham dibunuh dengan sengaja. Cuma, kita tidak tahu angkara siapakah yang melakukan pembunuhan itu.” “Sabarlah, Amiruddin. Lama-lama kebenaran akan muncul juga nanti.” Ondu memujuk sahabatnya. Barulah aku tahu namanya Amiruddin. Kemudian, Amiruddin bersuara lagi, “Ondu, aku mahu pergi ke Syarikat Anak Bumi. Tentu kak Baizura sedang mencari aku.” “Baiklah Amir. Pergilah,” balas Ondu. Kemudian, aku cuba mendekati orang yang dikenali sebagai Ondu. Dia nampak terkejut. “Hai, nama saya Humaira Qistina. Panggil saja Qis. Seorang pemberita dari Kuala Lumpur,” aku berbasa-basi dengannya. “Maaf, tadi saya terdengar perbualan kalian berdua mengenai kes pembunuhan. Boleh saya tahu, apa punca pembunuhan itu terjadi ?” aku menyoal Ondu untuk mendapatkan maklumat. “Ini semua angkara semangat hutan itu,” balas Ondu. “Pak Cik Ondu, saya mahu ke tempat pembunuhan itu. Bolehkah pak cik bawa saya ke sana ?” soalku pada Ondu. “Boleh. Tapi berhati-hatilah”, balas Ondu.
Aku, Amiruddin dan Ondu pergi ke Hutan Keningau menggunakan Ranger Rover. Sepanjang perjalanan, Amiruddin diam membisu. Tiada langsung senyuman yang terukir di bibirnya. Aku mulai rasa bosan dengan perangainya itu. ‘Sombonglah dia ni’, getus hatiku. Setelah beberapa jam perjalanan, akhirnya sampai jua di tempat pembunuhan itu. Amiruddin turun dan terus berjalan ke tempat itu. Kelihatannya, dia sedang menyentuh pokok dan dahinya sedikit berkerut. Barangkali memikirkan sesuatu. “Ondu, naluri aku kuat mengatakan pokok ini memang sengaja ditebang dan kemudian menghempap arwah Salina dan ayah Berham. Aku yakin,” Amiruddin bersuara. “Kalau kau yakin, mari kita sama-sama siasat siapa yang membunuh mereka,” cadang Ondu. Aku diam dan hanya memerhatikan gelagat mereka sahaja.
Kemudian, mereka membawa aku ke rumah Amiruddin. Di situ, aku diperkenalkan dengan Puan Haleeza, Kak Baizura, Hidayah dan Amirulhadi. Mereka mengajak aku agar tinggal di rumah mereka untuk sementara waktu sehinggalah tugasku selesai. Aku duduk bersantai menikmati udara segar tiba-tiba Amiruddin muncul di muka pintu. Lalu dia duduk berhadapan denganku kemudian memperkenalkan dirinya. “Aku Amiruddin”. “Namaku Humaira Qistina. Panggil saja Qis”, aku memperkenalkan diri. Kemudian, dia bermain teka-teki denganku, “burung apa yang sayapnya dan kakinya ke bawah ?”. penat aku memerah otak, namun aku tak berjaya menjawab teka-teki itu. Aku tersenyum. “Qis tak tau jawapannya. Tak apalah. Jawapannya ialah burung kena pijak”, beritahu Amir kepadaku. “Kenapa pula ?”, aku bertanya kekeliruan. “Yalah, apabila burung kena pijak, maka sayap dan kakinya akan ke bawah. Tak begitu Cik Qistina.” Kami sama-sama ketawa. Memecah keheningan malam.
Kenangan itu membuatkan aku ketawa sampai tak sedar aku berada di rumah. Pada mulanya, aku merasa cemburu setelah mengetahui bahawa Amiruddin pernah berkahwin dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Amirulhadi. Puan Haleeza, iaitu bonda kepada Salina dan isteri Tuan Berham yang menceritakan kepadaku. Lama-kelamaan, aku dapat hilangkan rasa cemburu itu. Sebenarnya, dia banyak mengajar aku mengenai Allah Maha Pencipta. Aku pula tidak jenuh belajar dengannya. Aku tahu, ilmu agamaku sungguh cetek. Dia tidak kedekut mencurahkan ilmu yang ada padanya. Aku amat gembira melihat senyumannya. Suatu hari, aku, dia dan Ondu pergi ke Hutan Keningau untuk menyiasat punca pembunuhan itu. Ketika kami sedang asyik mencari bukti-bukti yang dapat diperkukuh untuk membuktikan bahawa kematian Saina dan Tuan Berham adalah dirancang, tiba-tiba, aku terdengar bunyi daun-daun kering dipijak sesuatu. Aku hendak mendapatkan Amiruddin, tapi tidak sempat apabila 2 ekor harimau pemagsa menerkamku.
Kuku-kuku tajamnya menggores tangan dan badanku, aku menjerit sekuat hati. Lalu Amiruddin dan Ondu datang. Amiruddin segera berlari ke arahku untuk menyelamatkan aku. Dia menolak aku dan dia segera menghalau harimau-harimau itu. Namun, 2 ekor harimau itu tidak mahu pergi dan sebaliknya terus membaham Amiruddin. Dia cuba sedaya upaya melepaskan dirinya daripada dibaham harimau pelahap itu. Namun, cubaannya gagal. Dua ekor harimau itu menerkam mangsanya tanpa sedikit pun belas kasihan. Aku hanya mampu memerhatikan sahaja. Aku mahu menolong Amiruddin, tetapi apabila aku mahu bangkit, badanku tidak berupaya lagi. Kini, kesakitan yang lebih menguasai diriku. Manakala Ondu menjerit meminta pertolongan. Selalunya, Ondu akan membawa selaras senapang bersama tetapi kali ini dia tidak membawa. Akhirnya, Amiruddin rebah jatuh ke tanah tidak sedarkan diri setelah bergelut dengan 2 ekor harimau itu. Darah keluar membuak-buak di bahagian perut. Aku mahu mendapatkannya, tetapi aku juga pengsan tidak sedarkan diri.
Aku membuka mataku perlahan-lahan dan melihat sekeliling dan kini, aku berada di hospital. Luka di tangan dan badan masih terasa ngilu. Namun aku kuatkan juga hanya untuk mengetahui keadaan Amiruddin. Aku membuka pintu wad icu dengan penuh debaran dan aku berasa hairan apabila melihat Ondu, Kak Baizura, Puan Haleeza dan Amirulhadi menangis. Aku bertanya kepada Kak Baizura mengenai Amiruddin. Dia memegang bahuku dan berkata dalam sendu tangisan “Qis, Amir dah meninggal dunia”. Aku tergamam dan badanku lemah longlai dan akhirnya aku jatuh. Kak Baizura segera menenangkanku. Aku menangis semahu-mahunya.
Jenazah Amiruddin selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam dan bersebelahan dengan pusara arwah isterinya, Salina. Di situ, aku membaca surah Yasiin serta tahlil ringkas untuk arwah Amiruddin. Amirulhadi begitu tenang menghadapi situasi ini. Kemudian, aku pulang semula ke rumah keluarga arwah Amiruddin. Amirulhadi pantas memelukku dan menghamburkan tangisan. Aku berasa amat kasihan melihatnya kerana dia telah kehilangan umi dan ayah yang dikasihinya. Aku membalas pelukannya yang kian erat. “Abang Amir, Qis akan tetap di sini untuk menjaga Amirulhadi seperti anak Qis sendiri. Qis akan lupakan pekerjaan Qis di Kuala Lumpur. Qis tidak akan melupakan kenangan yang kita lalui bersama-sama dan Qis akan terus mengingati jasa abang. Sebab abang Amir telah menyelamatkan nyawa Qis. Qis terhutang nyawa pada abang. Maafkan Qis, abang”.
Sudah 5 tahun peristiwa tragis itu berlalu. Namun, ia kelihatan masih segar dalam ingatanku. Kini, aku telah pun mendirikan rumahtangga dengan seorang lelaki mirip arwah Amiruddin. Setiap tingkah lakunya persis arwah. Tapi, aku bukan mahukan dia kerana mirip arwah Amiruddin. Tidak sama sekali. Nama lelaki itu ialah Nur Iman iliyas. Kami membina bahtera sudah hampir setahun. Perkenalan antara kami umpama sebahagian daripada perancangan Allah. Kini, usia kandunganku sudah hampir mencecah 8 bulan. Aku bakal melahirkan zuriat yang diimpikan oleh setiap pasangan yang sudah berkahwin. Doaku semoga bakal anakku nanti menjadi seorang anak yang baik dan soleh. Amirulhadi pula berada di bawah jagaanku. Mujurlah Puan Haleeza membenarkan aku menjaga Amirulhadi. Anak itu sudah ku anggap seperti anakku sendiri. Segala kesedihan dan kegembiraan dia adalah merupakan kesedihan dan kegembiraan aku juga. Aku berasa teramat rindu dengan arwah abang Amir. Kerana dialah aku masih bernyawa. Tapi, aku sedar bukan dia yang memberikan aku hidup tapi Allah S.W.T . Aku amat bersyukur padaMu Ya Rabb. Ada pepatah melayu mengatakan, ‘harimau mati meninggakan belang, manusia mati meninggalkan jasa.’ “Qis akan kenang jasa abang Amir sehingga nafas Qis terhenti,” getus hatiku.
WALLAHUA’LAM
AKHIR KALAM
ISNIN / 14.02.2010
8.01 p.m
PENULIS ~ANNA ALTHAFUNNISA HAYATIE~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan